Tag: harian metro

3 maut dalam kejadian tembakan di Utrecht

Utrecht: Tiga mangsa dipercayai maut selepas seorang lelaki melepaskan tembakan di dalam tram dan beberapa lokasi di bandar ini.

Susulan kejadian itu, polis Belanda menamakan suspek yang dikenali sebagai Gökman Tanis, 37, berketurunan Turki.

Gambar lelaki itu disiarkan polis melalui Twitter, dirakam melalui CCTV dalam tram terbabit beberapa minit sebelum dia melepaskan tembakan pada jam 10.45 pagi yang turut menyebabkan beberapa lagi cedera.

Menurut laporan Daily Mail, lelaki itu yang berkemungkinan tidak bersedirian melarikan diri dari tempat kejadian dengan kereta Renault Clio yang kemudian ditemui ditinggalkan.

Sepasukan polis yang lengkap bersenjata dilihat berkumpul dekat sebuah apartmen kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian dipercayai tempat lelaki terbabit menyembunyikan diri.

Selepas 12.30 tengah hari waktu tempatan, ketua agensi anti-pengganas Belanda, Pieter-Jaap Aalbersberg, berkata tahap amaran pengganas dinaikkan ke tahap tertinggi iaitu 5, terutama di wilayah Utrecht.

“Motif pengganas tidak boleh diketepikan,” katanya melalui Twitter.

Polis mengarahkan semua sekolah, masjid dan stesen pengangkutan ditutup ketika operasi memburu dilaksanakan.

Harian Metro