Category: Tanjung Manis

BOT TUNDA MEMBAWA BARGE DITAHAN

TANJUNG MANIS, 7 Januari – Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Manis telah menahan sebuah Bot Tunda dan Barge di kedudukan lebih kurang 1.3 Batu Nautika Barat Daya Tg. Jerijeh. Bot tersebut ditahan kira-kira pada jam 2.20 petang.

Ketika sedang melaksanakan Rutin Rondaan Harian, pihak Maritim Malaysia telah mengesan sebuah Bot Tunda dengan Barge yang sarat dengan muatan Batu Kelikir dalam keadaan yang mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati; bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967 iaitu gagal mengemukakan Pas Pelepasan Pelabuhan atau “Port Clearance” semasa pelayaran.

Krew bot berkenaan adalah terdiri daripada 5 orang daripadanya adalah warga tempatan dan 4 orang lagi adalah warga India yang memiliki passport dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Zon Maritim Tg. Manis, Komander Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim berkata, pihaknya amat komited dan akan terus mempergiatkan usaha pemantauan serta rondaan yang berterusan bagi memastikan sebarang aktiviti yang melanggar atau menyalahi undang-undang di laut dapat dibendung serta dibenteras dengan sewajarnya.

Sebarang pelakuan salah laku serta kesalahan jenayah ataupun pencerobohan zon menangkap ikan di laut, pengadu bolehlah membuat aduan dengan menghubungi terus Bilik Operasi, Zon Maritim Tanjung Manis di talian: 084-613292/084-613293 atau MERS 999 (24 jam).

KAPAL KARGO MEMBAWA BATU KELIKIR DITAHAN KERANA TIADA NAKHODA/MASTER SEMASA PELAYARAN

TANJUNG MANIS, 23 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Tg. Manis telah menahan sebuah Kapal Kargo yang membawa muatan Batu Kelikir dari Kuching ke Sibu di kedudukan 1.3 Batu Nautika Selatan Tg. Jerijeh. Kapal Kargo tersebut ditahan kira-kira pada jam 9.42 pagi.

Ketika sedang melaksanakan Rutin Rondaan Harian, Pasukan Operasi Khas telah mengesan sebuah Kapal Kargo yang sarat dengan muatan Batu Kelikir dalam keadaan yang mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati; kapal kargo tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar iaitu Tiada Nahkoda/Master di atas kapal semasa Pelayaran.

Krew bot berkenaan adalah terdiri daripada 5 orang lelaki, 2 orang daripadanya adalah warga tempatan dan 3 orang lagi warga India yang memiliki passport serta dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Maritim Tg. Manis, Komander Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim berkata, Zon Maritim Tg. Manis akan terus dan sentiasa mempergiatkan usaha pemantauan serta rondaan bagi memastikan sebarang aktiviti yang melanggar atau menyalahi undang-undang di laut dapat dibendung serta dibenteras dengan sewajarnya.

Kapal Kargo tersebut kemudiannya ditahan dan diiringi masuk ke Jeti Sarikei untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan selanjutnya.