Category: Sematan

Masjid Jamek Kuala Lumpur turun padang agih daging di Sarawak, Sabah

SEMATAN: Masjid Jamek Kuala Lumpur sekali lagi turun padang menganjurkan Program Aktiviti Khidmat Sosial Qurban Borneo 2.0 2019 di Sarawak dan Sabah.

Semalam, Program Aktiviti Khidmat Sosial Qurban Borneo 2.0 berlangsung di Kampung Telok Melano, Sematan.

Sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan pada majlis tersebut di Telok Melano dan dua ekor di Serian untuk diagihkan kepada penduduk tempatan yang layak.

Program dianjurkan Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid As Syakirin Kuala Lumpur dan di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama pihak Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

Ketua Pentadbir/Imam Besar Masjid Jamek Sultan Abdul Samad merangkap Pengarah Program CSR Qurban Borneo Sarawak dan Sabah, Ustaz Yahya Mahyuddin Utoh Said berkata, program berkenaan kali kedua diadakan di Sarawak dan Sabah.

“Program ini merupakan kali kedua diadakan bersama penduduk ia bertujuan merapatkan silaturahim antara Masjid Jamek Kuala Lumpur dengan penduduk tempatan.

“Daging korban diagihkan kepada penerima di kalangan penduduk tempatan,” katanya. Beliau berkata, program korban turut berlangsung di Kampung Buah Pandai Daerah Kota Belud, Sabah.