Category: Family

WANITA YG DILAPORKAN HILANG DI HUTAN TELAH DITEMUI

SELASA, 13 Jun 2019- Angkatan Pertahanam Awam Daerah Kuching telah menerima kes kecemasan org hilang dari pihak PDRM berkenaan seorang wanita berumur 48 tahun yang mengalami masalah kemurungan dikhuatiri hilang di lokasi hutan berhampiran semariang waterpark.

Mangsa telah keluar rumah pada 11/6/2019 tanpa disedari oleh pihak keluarga.Menurut sumber dari suami beliau, mangsa juga mengalami masalah kesihatan dan sering berhalusinasi.Mangsa telah dijumpai pada 9.25 pagi di sekitar jln besar lebih kurang 200 meter dari kawasan rumah dalam keadaan lemah dan basah kuyup serta berlumpur.

Pihak APM Kuching yg berada di lokasi bertindak memberi rawatan awal sebelom di hantar ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

PASANGAN WARGA EMAS NYARIS RENTUNG APABILA RUMAH MEREKA RANAP DI JILAT API AWAL PAGI TADI

Sepasang suami isteri warga emas nyaris rentung apabila rumah kayu satu tingkat milik mereka musnah dalam satu kejadian kebakaran jalan Penrissen Batu 9, Kuching, di sini awal pagi tadi.

Kejadian itu mengakibatkan seorang lelaki warga emas 70-an, melecur pada tangan akibat disambar api semasa cuba menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) Di-Hata Gobel ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara terbabit dan berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian berkenaan pada jam 1.25 pagi.

Katanya, dua buah Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah jentera Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan atau Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bersama 17 anggota termasuk Ketua Operasi Balai diaktifkan sejurus selepas menerima panggilan terbabit.

“Setibanya pasukan bomba dilokasi kejadian pada kira-kira jam 1.26 pagi keadaan rumah mangsa sudah hampri 100 peratus musnah dijilat api. Kebakaran tersebut turut memusnahkan sebuah kereta dan sebuah motosikal milik mangsa.

Anggota bomba segera melakukan operasi pemadaman dan mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadam kebakaran tersebut,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya lagi, mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dengan EMRS Bomba, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada jam 2.50 pagi.

-wiraalam-SA

NUKUK BEDOK PADA MALAM RAYA AIDILFITRI DI KPG PULAU SEDUKU SRI AMAN

Beduk ditukuk atau di palu menandakan waktu solat telah tiba biasa kita dengari. Namun lain pula di Kpg Pulau Seduku, Sri Aman Sarawak dari tahun 1930an hingga kini. Beduk ditukuk untuk meraikan malam hari raya pertama. Kebiasaan ditukuk selesai solat Isyak sehingga pagi raya. Golongan tua, dewasa kanak-kanak saling berebut nak menukuk beduk.

Namun sejak peralihan zaman budaya menukuk beduk makin pupus ditelan zaman. Malah nada atau irama paluannya tak seindah dulu. Malah ramai yang tak tahu menukuk beduk masa kini.

Sejak penduduk Pulau Seduku dipindahkan ke penempatan baru Agropolitan Pulau Seduku,budaya menukuk beduk makin hilang dihati mereka. Mungkin faktor perubahan zaman menyebabkan golongan generasi baru lebih suka dengan budaya baru meraikan malam raya. Kalau dulu malam raya wajib nukuk beduk. Namun kini diganti letupan mercun dan bunga api.

Namun Haji Sulaiman bin Endeng dan beberapa orang generasi tua masih mempertahankan budaya menukuk beduk. Golongan belia pun ada mencuba tapi tak seindah dan seirama paluannya. Bagi saya budaya menukuk beduk harus dikekalkan agar generasi akan datang kenal budaya kaum mereka.

Beduk Masjid Pulau Seduku ini wujud puluhan tahun dahulu. Beduk ini dibuat menggunakan batang kayu sebesar dua pemeluk dan mula dibuat dalam tahun 1930an. Manakala kulit lembu disimpei menggunakan rotan dipermukaan lubang kayu balak yang telah dilubangkan. Kemudian ditala dengan bongkahan kayu kecil untuk menghasilkan bunyi yang merdu dan mantap.

Bagi saya budaya menukuk beduk di malam raya harus dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.

Arfathma Abadi

Indahnya budaya kampungku.

KELITAK @LELITAK MAKANAN EKSOTIK DARI SARAWAK

Kelitak atau lelitak makanan eksotik kaum Iban di Sri Aman. Semangkuk kelitak dijual dengan harga RM5.00 di pasar tamu Sri Aman dan di Pekan Lachau harganya RM6.00 semangkuk. Tahukah anda bagaimana kelitak diperolehi. Jom kita rungkaikan bersama.

Pengalaman saya di malam raya ketiga. Saya terserempak dengan sepasang suami isteri pencari kelitak berasal dari kampung Empelanjau Sri Aman. Menurut beliau dan isteri selalu mencari kelitak di kawasan rumah saya hingga rumah Razali dan ke Loji Tangki Air di kampung saya.

Pada mulanya uncle dan isterinya malu nak mencari kelitak di kawasan rumah saya. Bila melihat saya ada di rumah. Namun saya menyapa dan turut serta mencari kelitak bersama beliau. Saya berterus terang dengan beliau saya ingin menulis pengalaman mencari kelitak sebagai satu pengalaman yang baru bagi diri saya.

Menurut uncle kelitak aktif di malam hari. Kelitak banyak di kawasan tanah yang lembab tapi kurang di kawasan tanah yang berlumpur (licak bahasa kpg). Lebih tepat kawasan tanah yang dibanjiri air masin disitulah banyak kelitak. Terbukti kata uncle benar bila saya turut serta mencari kelitak malam ini. Bila siang ianya hilang entah kemana.

Menurut uncle lagi dia dan isterinya mencari Kelitak malam ini untuk dijual kepada penduduk kampung Empelanjau yang nak balik ke Bintulu esok hari. Saya juga sempat bertanya kepada uncle kelitak sedap dimakankah uncle? Jawap uncle kelitak lebih sedap dari daging ayam. Menu masakan dari kelitak boleh dibuat kari, masak kicap dan pelbagai. Terliur saya mendengar.

Mencari kelitak walaupun tak sukar namun terdedah dengan bahaya seperti terserempak dengan binatang berbisa seperti ular kata uncle. Sebab itu dipinggangnya terselit parang dibawa bersama untuk keselamatan.

Uncle juga meluahkan isi hati kepada saya. Selain berkebun, mencari kelitak adalah mata pencarian sampingan beliau dan isteri. Faktor usia dah tua beliau tak mampu berkerja dengan kompeni. Jadi dengan hasil mencari kelitak inilah untuk meneruskan kelangsungan hidup untuk membeli kopi dan gula jadilah kata uncle.

Alhamdulillah hasil malam ini saya, uncle dan isterinya mendapat lebih kurang RM30.00 keatas. Bila beliau hendak pulang saya mempelawa uncle dan isteri jalan raya ke rumah saya namun mereka berdua menolak ajakkan saya kerana pakaiannya kotor. Namun saya bekalkan kueh raya untuk dibawa pulang malam ini.

Selamat hari raya jang kata uncle dan isteri. Selamat Ari Gawai uncle untie. Saya turut berpesan jika nak cari kelitak cari sahaja kat kawasan rumah saya. Jangan takut. Hati hati uncle untie. Bye

Arfathma Abadi

Rezeki Allah itu luas

PROGRAM INTEGRITI IHYA’ RAMADHAN ANJURAN UNIT INTEGRITI DAN OMBUDSMAN NEGERI, JABATAN KETUA MENTERI JAWATANKUASA PENGURUSAN MASJID AR RAHMAN, PUSPEN MASJID AR RAHMAN, PUSAT PEMULIHAN PENAGIHAN NARKOTIK (PUSPEN),

Kuching, 31 Mei 2019

Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION), Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Masjid Ar Rahman, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Kuching, Sarawak telah menganjurkan Program Integriti Ihya Ramadan bersama klien dan tetamu sempena menyambut bulan Ramadan 1440H.

Program yang julung kali diadakan pada tahun ini melibatkan seramai 150 orang klien PUSPEN Kuching dan 40 orang tetamu jemputan ini telah dirangka bertujuan untuk menyantuni klien-klien PUSPEN Kuching yang sedang melalui proses pemulihan dan rehabilitasi penagihan dadah.

Program dimulakan dengan pengisian ceramah Ramadan yang disampaikan oleh Sheikh Abdul Khaliq As Suwady. Seterusnya diikuti dengan berbuka puasa, solat Maghrib, Isya’ dan Tarawikh secara berjemaah.

Program ini diserikan lagi dengan kehadiran YB Datuk Haji Talib Zulpilip, Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sarawak (Integriti & Ombudsman) merangkap Penaung Masjid Ar Rahman, PUSPEN Kuching, Yang Berusaha Tuan Haji Adana bin Haji Jed, Pengarah UNION, Yang Berusaha Encik Iskandar bin Turkee; Timbalan Pengarah AADK Negeri Sarawak merangkap Penasihat Masjid Ar Rahman PUSPEN Kuching.

Dalam ucapannya, YB Datuk Haji Talib mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh UNION dan PUSPEN Kuching bagi menjayakan program ini demi memberikan sokongan, motivasi serta nasihat kepada klien-klien yang sedang menjalani proses pemulihan dan rehabilitasi penagihan dadah.

Beliau juga berkata, kekalkan perpaduan dan harmoni antara kaum yang sedia terjalin di Sarawak dengan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar mengikut Al-Quran dan Hadis. Selain daripada itu, nilai integriti dalam diri juga perlu ditingkatkan dalam kehidupan seharian.

#integritisarawak

#ombudsmansarawak

PENINGKATAN ALIRAN TRAFIK DI PANGKALAN FERI SEBUYAU/TRISO DI BAHAGIAN SAMARAHAN BERSEMPENA PERAYAAN HARI GAWAI DAYAK DAN CUTI SEKOLAH

Peningkatan aliran trafik di pangkalan Feri Sebuyau/Triso di Bahagian Samarahan mulai semalam dan pengguna diingatkan supaya bersabar dan bertolak ansur ketika menuju ke destinasi masing-masing pada musim perayaan dan cuti sekolah ini.

Peningkatan jumlah kenderaan dapat dilihat bermula dari awal pagi semalam namun keadaan masih lagi terkawal dan ini menyebabkan kenderaan berbaris panjang semasa menunggu giliran menggunakan feri untuk menyeberangi Batang Lupar dari Sebuyau Bahagian Samarahan ke Triso Bahagian Betong.

Kini terdapat tiga feri beroperasi di pangkalan Feri Sebuyau/Triso di Bahagian Samarahan. Antara langkah diambil bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin banyak menggunakan perkhidmatan feri adalah bermula dari 25 Mei sehingga 16 Jun ini di pengkalan Feri Sebuyau/Triso, untuk Feri Pertama masa operasi dari 6 pagi dilanjutkan sehingga 12 tengah malam, Feri Kedua beroperasi dari 4 pagi akan dilanjutkan sehingga keesokan 2 pagi dan Feri Ketiga akan beroperasi seperti biasa dari jam 8 pagi sehingga 10 malam.

Ini bermakna terdapat tiga feri beroperasi di waktu 8 pagi sehingga 10 malam. Namum begitu, operasi feri tidak dapat menampung peningkatkan aliran trafik secara mendadak dimana perantau yang mahu balik kampung untuk meraikan perayaan berganda ini mula bergerak dari semalam dan menggunakan jalan persisiran merupakan punca utama menyebabkan kenderaan berbaris panjang di sebelah Sebuyau, bandingan aliran trafik dari sebelah Triso.

Mohon kerjasama dari nelayan-nelayan tempatan supaya tidak memasang pukat berdekatan dengan laluan feri. Akitiviti nelayan yang memasang pukat di laluan feri telah mengganggu dan menjejaskan kelancaran operasi feri. Ini menyebabkan feri terpaksa memperlahankan operasi di mana masa diambil untuk menyeberangi lebih panjang.

Pengguna jalan raya yang menggunakan perkhidmatan feri dinasihati supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan feri dan memberi kerjasama supaya tidak memotong barisan serta mengikut arahan krew feri yang bertugas terutama semasa kenderaan memasuki dan keluar dari feri.

Ingin diingatkan bahawa, hanya pemandu sahaja dibenarkan berada di dalam kenderaan dengan cermin dibuka sepenuhnya manakala semua penumpang lain tidak dibenarkan berada di dalam kenderaan masing-masing ketika feri sedang bergerak. Ketika kenderaan berada di dalam feri, enjin hendaklah dimatikan, brek tangan ditarik dengan ketat dan pengguna dinasihati supaya sentiasa peka terhadap lokasi alat bantuan kecemasan seperti jaket, pelampung dan rakit keselamatan.

CAWANGAN KOMUNIKASI KORPORAT

JABATAN KERJA RAYA SARAWAK

Tarikh : 31 Mei 2019