Category: Cars

Trak Pick-Up EEV Pertama di Malaysia

Terima Kasih kepada pihak Isuzu dan Mr Bernard kerana telah memberi peluang kepada Sarawak Edition bagi memandu uji kenderaan D-Max terbaru enjin 1.9 liter Blue Power yang canggih serta cekap tenaga.

Foto wiraalam bersama Mr Bernard
Foto wiraalam bersama Mr Bernard

Untuk beberapa generasi sebelum ini, enjin diesel Isuzu telah berkhidmat dengan penuh ketahanan dan lasak. Dengan angka pengeluaran enjin mencecah 25 juta unit dan sebagai pengeluar automotif tertua di Jepun, Isuzu melangkau lebih jauh ke hadapan dengan pengenalan enjin baru RZ4E, antara enjin diesel paling kompak dan lasak serta cekap untuk kegunaan pada trak pick-up hari ini.

Direka untuk memenuhi keperluan penggunaan minyak serta pembebasan C02 yang lebih rendah, enjin 1,898 cc ini mampu memberikan prestasi yang lebih baik, ketahanan tinggi serta penjimatan lebih baik, senyap dan kurang geseran sekaligus menyumbang kepada kos penggunaan lebih rendah walaupun hadir di dalam pakej keseluruhan yang lebih kecil dan kompak.

Pak Uban, wiraalam dan Putri Salju pandu uji.

Pencapaian yang menakjubkan ini, terutama terhadap penggunaan minyak dan pembebasan CO2 vang lebih rendah pada Isuzu D-Max 1.9 liter telah menjadikan trak pick-up berkenaan sebagai yang pertama di negara ini menerima pengiktirafan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) selari di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Peraturan 101 Pertubu Malaysia.

Hadir dengan teknologi canggih seperti yang disifatkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia. Koji Nakamura, Isuzu D-Max 1.9-liter Blue Power ini menggabungkan kemajuan teknologi dan kepakaran Isuzu untuk menyediakan kepada pengguna sebuah enjin tahan lasak, namun dalam masa yang sama tetap mempunyai prestasi lebih baik serta menjimatkan minyak.

“Pengguna trak pick-up meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap kenderaan mereka untuk melaksanakan tugasan dengan cemerlang. Mereka memerlukan trak yang berkemampuan tinggi, dengan operasi pada kos yang minimum serta tidak banyak ragam. Dengan kesedaran yang sama, D- Max baru ini memberikan nilai terbaik dengan prestasi yang dipertingkat, penggunaan minyak yang rendah, kos operasi yang rendah, serta cukai jalan yang juga lebih rendah di kebanyakan lokasi di Malaysia,” jelas beliau.

Bagi tujuan memperluas jaringan manfaat yang boleh dinikmati pengguna, Isuzu Malaysia menawarkan Isuzu D-Max terbaru ini di dalam 11 varian dalam segmennya, bermula dengan penawaran peringkat kemasukan, 1.9 liter Low-Rider 4×2 manual, yang disasarkan untuk memenuhi keperluan kelompok peniaga. Ini diikuti pula oleh model kabin tunggal (single cab) yang datang dengan enjin 1.9 liter dan 3.0 liter, kedua-duanya dengan pacuan 4×4. Kemudian hadir pula versi kabin berkembar (double cab) yang dilengkapi transmisi manual atau automatik dalam penawaran paling asas (Type B) dan juga bagi tingkat kemasan premium. Turut serta di dalam barisan penawaran ini ialah versi pacuan 4×2 automatik yang disasarkan untuk pengguna urban yang tidak memerlukan fungsi pacuan 4×4. Varian paling tinggi ialah 4×4 Auto Premium, dalam kedua-dua pilihan enjin 1.9 In liter dan 3.0 liter.

Dengan kehadiran enjin 1.9 liter Blue Power terbaru, Isuzu D-Max baru ini tidak hanya menawarkan dinamik pemanduan yang lebih baik dari sebelumnya; aspek penampilannya juga menerima banyak pembaharuan, misalnya pilihan warna baru yang ditawarkan termasuk Sapphire Blue, Red Spinel, Stallion Black, Titan Silver, Silky White Pearl dan Magnum White.

Di depan, rekaan gril dengan gandingan kemasan hitam dan krom kini dilanjutkan sehingga ke lampu utama yang menggunakan unit jenis projektor LED serta lampu siang LED. Capahan cahayanya juga boleh dilaraskan oleh pemandu untuk mengelakkan silau terhadap kenderaan dari arah bertentangan. Bahagian bampar melengkapkan lagi penampilan baru ini dengan rekaan dan kemasan baru di sekeliling lampu kabus.

Selain daripada kemasan pelekat baru pada badan, Isuzu D-Max turut menggunakan rekaan rim 18- inci baru yang menjadikannya tampil lebih sporty dan sedikit sebanyak menyuntik pengendalian yang lebih cermat pada trak ini. Enjin terbaru ini juga telah menerima pengurangan berat sebanyak 56 kg. Selain itu, cermin sisi juga akan terlipat secara automatik setiap kali kenderaan dikunci.

Untuk memudahkan pemunggahan barang, Isuzu memperkenalkan ciri pintu ringan bagi ruang barangan di belakang sebagai pilihan. Mekanisme berkenaan menggunakan sebuah strut untuk mengawal laju pergerakan pintu, sementara sebuah palang torsion membolehkannya dikendalikan dengan lebih mudah, walau hanya dengan satu jari.

Bagi membolehkan pengguna benar-benar menghargai kelebihan pengurangan bunyi kebisingan enjin 6% yang dapat dicapai melalui enjin baru ini berbanding enjin 2.5 liter yang digantikannya, jurutera Isuzu menjadikan ruang dalaman trak ini lebih selesa dan kemas, antaranya melalui penggunaan material lembut di beberapa bahagian panel sedia ada. la tidak hanya berfungsi untuk menyerap bunyi dengan letih baik dan menjadikan ruang kabin lebih senyap, tetapi turut menjadikan ruang kebin lebih selesa dan menawan, tambahan bila digandingkan bersama kerusi balutan gabungan kulit dan fabrik yang digunakan.

Sebuah port pengecas USB juga tersedia tak jauh dari kedudukan tombol gear. Tidak ketinggalan untuk penumpang belakang, satu lagi port sama turut disediakan sebagai tambahan, pada bahagian belakang kompartmen tengah, untuk kemudahan mereka mengecas peranti elektronik ketika dalam perjalanan.

Tarikan utama pada Isuzu D-Max baru ini tentulah unit enjin 1,898 cc RZ4E-TC yang digunakan. Dibangunkan dalam tempoh empat tahun oleh Isuzu Motors Jepun, ia menampilkan pencapaian teknikal yang membanggakan. Unit ini berhasil menjana 150 PS pada 3,600 rpm (naik 10%) dan 350 Nm tork (naik 9%) antara 1,800 dan 2,600 rpm berbanding unit 2.5 liter 4JK1-TCX sebelum ini.

Walaupun angka janaan kuasa enjin bertambah, bacaan penggunaan minyak serta ketangkasannya kekal sama. Ujian yang dijalankan di Thailand bahkan menunjukkan peningkatan 19% bagi penjimatan penggunaan bahan api. Dalam masa sama, enjin ini juga memberikan 37% kurang geseran antara komponen dalaman; memanjangkan lagi jangka hayatnya serta mengurangkan kehausan pada alatan terlibat.

Enjin RZ4E ini digandingkan dengan sistem transmisi baru, yang membolehkannya menawarkan tahap prestasi yang lebih baik berbanding unit 2.5 liter sebelum ini. Dengan kotak gear enam-kelajuan bagi kedua-dua jenis automatik dan manual, D-Max baru meluncur dengan lebih pantas dan mudah untuk memotong, dan dalam masa yang sama memberikan lebih banyak keselesaan.

Isuzu D-Max baru ini juga menampilkan ciri kawalan menuruni curam (Hill Descent Control, HDC), menjadikan situasi menuruni bukit dengan permukaan licin lebih meyakinkan. Satu lagi ciri baru ialah Vehicle Launch Assist Control yang meningkatkan tahap tork pada kedudukan curam 25% atau lebih. Melalui ciri ini, kenderaan akan bermula dengan lonjakan dengan lebih cepat ketika berada dalam keadaan tidak rata atau mendaki seperti itu, tanpa ada kelengahan turbo lag ketika ingin memulakan pergerakan dari keadaan pegun.

Untuk maklumat lanjut berkaitan barisan penawaran Isuzu D-Max 1.9 liter Blue Power, layari laman www.isuzu.net.my atau sila rujuk laman Facebook rasmi Isuzu Malaysia.

ISUZU D-MAX 1.9 TAKLUKI BORNEO SAFARI

Dengan reputasi yang tidak dapat disangkal sebagai salah satu kenderaan off-road yang paling lasak dan berkeupayaan di dalam cabaran tahunan Borneo Safari yang merupakan salah satu acara off road yang ekstrem di rantau ini, Isuzu D-Max tentu dapat menarik perhatian sesiapa sahaja dengan kemampuan prestasi off-road yang menyerlah dan konsisten.

Isuzu D-Max terbaru dengan enjin Blue Power 1.9 liter meneruskan tradisi untuk membuktikan bahawa ia mampu mengharungi apa jua cabaran sepanjang tempoh tujuh hari acara itu berlangsung; meredah permukaan jalan yang sukar dan tak menentu.

Isuzu Malaysia diiktiraf sebagai peneraju yang inovatif dan diberikan kepastian dengan Anugerah khas kerana memperkenalkan kapsiti enjin yang paling rendah iaitu 1.9L di dalam acara ini.

Baru sahaja dilancarkan sebulan yang lalu, Isuzu D-Max 1.9 yang menyertai acara ini hanya sempat mencatatkan 200 km pada odometernya, sebelum dipandu untuk meneroka dan meredah permukaan hutan di Sabah sebagai kenderaan pengangkut untuk media dalam acara mencabar yang bermula dan berakhir di Kota Kinabalu.

“Blue Monster” berkenaan hadir dengan kelengkapan standard, selain disesuaikan untuk kegunaan di permukaan ekstrem seperti; ketinggian badannya ditambah untuk membolehkannya menggunakan tayar permukaan lumpur, penyerap hentak larasan panjang, snorkel, winch dan penampan lasak sebegai pelindung ketika dalam permukaan tak menentu ketika di dalam hutan.

“Peminat-peminat off-road faham bahawa keseimbangan antara ketangkasan dan penyaluran kuasa adalah sangat penting ketika berdepan dengan laluan getir di dalam hutan. Dengan hantaran kuasa yang mengagumkan serta padanan transmisi enam-kelajuan, D-Max 1.9-liter Blue Power tidak segan untuk menyerlah di dalam apa jua situasi, walaupun saiz enjinnya yang lebih kecil,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Mayasuki Suzuki.

Isuzu D-Max 1.9 liter menampilkan enjin 1,898 cc yang mengagumkan yang direka dengan tujuan untuk mempertingkatkan prestasi enjin serta ketahanannya.

Ia merangkumi komponen enjin yang lebih ringan yang sekaligus dapat mengurangkan geseran dan tekanan terhadap bahagian-bahagian terlibat. Sistem pengecas turbo Variable Geometry System (VGS) juga telah diberi kemaskini dan meningkatkan maklumbalas enjin, terutama ketika RPM rendah untuk memberikan respon enjin yang lebih baik kepada pemandu.

Jentera “Blue Monster” ini menyertai unit “Red Monster”, “White Monster” dan “Black Monster” sebagai sebahagian daripada komitmen Isuzu Malaysia selaku penaja utama acara berkenaan. Wakil media memanfaatkan kenderaan terbabit untuk mendekati aksi-aski yang berlangsung tahun ini.

Isuzu Malaysia telah menjadi penyokong utama acara berkenaan sejak 13 tahun lalu. Borneo Safari dianjurkan secara tahunan sejak 1991.

PEMANDU DAN PENUMPANG KERETA TERSEPIT DLM KEMALANGAN DENGAN KERETA 4×4 DI JLN KPG BOGAG MENGHALA KE SERIKIN

Sepasang suami isteri dan bayi berusia 7 bulan nyaris maut selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux di Jalan Kampung Bogag, Bau di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 11.38 pagi itu mengakibatkan pemandu serta penumpang kereta mengalami kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Ebby Hirwandy bin Sabini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.38 pagi.

Jelasnya, sepasukan 14 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kemalangan untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati pemandu kereta Toyota Vios masih berada dalam kereta, dalam keadaan cedera. Manakala isteri dan bayi telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa sebelum diberikan rawatan awal,” katanya di sini hari ini.

Ebby menambah, pemandu serta tiga penumpang Toyota Hilux pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 12.20 tegah hari,”ujarnya.

-wiraalam-SA

EKSIDEN : DUA KERETA BERTEMBUNG DI JLN GEDONG SIMUNJAN 😢

NAHAS jalan raya melibatkan pertembungan sebuah kereta Perodua Viva dan sebuah Proton Saga FLX di Jalan Gedong Simunjan pagi tadi mengakibatkan kedua-dua pemandu cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mat anak Undek berkata, seramai enam anggota diketuai oleh PB Awang Johari dikerahkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan pada jam 7.41 pagi.

Menurut sumber, kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Viva yang dipandu Nordin bin Asban, 33 yang dari arah Simunjang ke Gedong bertembung dengan kereta Proton Saga yang dipandu oleh seorang guru Kertinah binti Deni, 43 dari arah bertentangan,”katanya.

Jelasnya,kedua-dua mangsa telah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

Pihak ambulan telah memberi rawatan awal kepada kedua-dua mangsa dan kemudiannya membawa mangsa ke Hospital bagi mendapatkan rawatan,katanya.

-wiraalam-SA

WANITA NYARIS MAUT KERETA GUGOK KE DALAM GAUNG😢

Seorang wanita nyaris maut, selepas kenderaan yang dipandu terlibat dalam kemalangan kendiri di Batu 18 jalan Oya Sibu di sini malam ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi(PGO) Negeri Sarawak Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Zian Azizi bin Yusuf berkata, pihaknya terima panggilan berkaitan kejadian pada jam 10.15 malam.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu oleh seorang wanita berumur berumur 23 tahun jatuh ke dalam gaung sedalam 3 meter,” katanya.

Tambahnya lagi, mangsa telah dikeluarkan dari kenderaan dan dihantar ke Hospital Sibu oleh orang awam.

Setelah memastikan selamat dan tiada lagi mangsa di dalam kenderaan, pihak bomba bertolak balik ke balai,”katanya setelah di hubungi Sarawak Edition sebentar tadi.

-wiraalam-SA

TERKINI : SEMPAT KELUAR KERETA SEBELUM TERBAKAR😢

Kuching: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya tiba-tiba terbakar di Jalan Matang FAC, Kuching di sini malam ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba (PGO) Negeri Sarawak Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB Hashim bin Ramilan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.20 malam.

Katanya, dua buah jentera sebuah jentera Fire Rescue Tander (FRT) manakala sebuah lagi Emergency Medical Rescue Servis (EMRS) bersama sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan tiba tujuh minit kemudian.

“Ketika sampai, kereta Perodua Myvi itu terbakar hampir 100 peratus. Pemandu kenderaan bagaimanapun berjaya keluar menyelamatkan diri selepas mendapati keretanya terbakar di bahagian enjin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan dan pihaknya berjaya memadamkan api dalam tempoh lima minit.

Katanya, operasi tamat pada 8.49 malam.

-wiraalam-SA

TERKINI : EKSIDEN DI JALAN BYPASS KOTA SAMARAHAN KE SERIAN

4 termasuk wanita cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan yang bertembung di Jalan By Pass Kota Samarahan-Serian, hari ini.

Kejadian jam 3.30 petang itu, membabitkan kereta jenis Produa Rusa dinaiki tiga mangsa berusia 40 hingga 50-an, dengan Perodua Axia dinaiki seorang wanita berusia 20-an.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, Pegawai Bomba Kanan Dua (PBKII) Ahmad Shah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 03.34 petang.

“Difahamkan kereta Perodua Rusa dari arah Kuching menghala ke Serian manakala Perodua Axia dari arah bertentangan.

“Dua penumpang Perodua Rusa iaitu lelaki berusia 40 hingga 50-an terpaksa dikeluarkan oleh pasukan bomba manakala dua mangsa lain turut cedera sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Umum Sarawak dengan menggunakan Ambulan dan Unit EMRS Bomba bagi mendapatkan rawatan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.43 petang tadi,” katanya.

-wiraalam-SA