Category: APMM

CUBAAN SELUDUP DIESEL 100,000 LITER BERJAYA DITAHAN MARITIM MALAYSIA

BINTULU, 8 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu berjaya menahan sebuah kapal tangki membawa muatan minyak dipercayai minyak diesel kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan di perairan Bintulu kira-kira 11.0 batu nautika dari Tanjung Kidurong semalam.

Kapal tangki bersama tiga(3) orang warganegara India ditahan oleh kapal APMM yang sedang melaksanakan rondaan lebih kurang jam 9.30 pagi semalam. Semasa ditahan, di dapati terdapat minyak dipercayai diesel berjumlah lebih kurang seratus ribu(100,000) liter yang dianggarkan bernilai Ringgt Malaysia tiga ratus ribu (300,000) berada di dalam kapal tangki tersebut.

Kapal tangki terbabit disyaki telah melakukan kesalahan membawa muatan minyak diesel tanpa kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kepenggunaan(KPDNKK) dan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Kapal juga disiasat dibawah Akta Kastam 1967 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. Kapal ditahan bagi tujuan siasatan lanjut.

APMM Bintulu mengalu-alukan komuniti maritim terutamanya di sekitar Bintulu untuk sentiasa berhubung dan menyalurkan maklumat terhadap sebarang salah laku dan perlakuan jenayah di laut kepada pihak APMM Bintulu di talian 086-314254. Maklumat juga boleh disalurkan melalui laman facebook: Zon Maritim Bintulu & TWITTER : Zon Maritim_Bintulu@ZBintulu.

KEPTEN MARITIM SHAHREF STEVE MAC QUEEN BIN ABDULLAH PENGARAH ZON MARITIM

ZON MARITIM BINTULU

26 November 2019

KAPAL KARGO MEMBAWA BATU KELIKIR DITAHAN KERANA TIADA NAKHODA/MASTER SEMASA PELAYARAN

TANJUNG MANIS, 23 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Tg. Manis telah menahan sebuah Kapal Kargo yang membawa muatan Batu Kelikir dari Kuching ke Sibu di kedudukan 1.3 Batu Nautika Selatan Tg. Jerijeh. Kapal Kargo tersebut ditahan kira-kira pada jam 9.42 pagi.

Ketika sedang melaksanakan Rutin Rondaan Harian, Pasukan Operasi Khas telah mengesan sebuah Kapal Kargo yang sarat dengan muatan Batu Kelikir dalam keadaan yang mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati; kapal kargo tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar iaitu Tiada Nahkoda/Master di atas kapal semasa Pelayaran.

Krew bot berkenaan adalah terdiri daripada 5 orang lelaki, 2 orang daripadanya adalah warga tempatan dan 3 orang lagi warga India yang memiliki passport serta dokumen pengenalan diri yang sah.

Pengarah Maritim Tg. Manis, Komander Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim berkata, Zon Maritim Tg. Manis akan terus dan sentiasa mempergiatkan usaha pemantauan serta rondaan bagi memastikan sebarang aktiviti yang melanggar atau menyalahi undang-undang di laut dapat dibendung serta dibenteras dengan sewajarnya.

Kapal Kargo tersebut kemudiannya ditahan dan diiringi masuk ke Jeti Sarikei untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan selanjutnya.

BOT NELAYAN TEMPATAN DITAHAN KERANA MELANGGAR SYARAT SAH LESEN

MUKAH, 22 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Manis telah menahan sebuah Bot Nelayan Tempatan Kelas “C2” di kedudukan lebih kurang 21.6 Batu Nautika Utara Mukah. Bot berkenaan ditahan pada 21 November jam 1.31 petang.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz bin Md. Kassim berkata, operasi ini dijalankan setelah menerima maklumat aduan awam mengenai bot pukat tunda yang berleluasa di kawasan berkenaan yang kerapkali menangkap ikan dengan menunda serta melanggar zon menangkap ikan sebagaimana telah ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Sejurus dari laporan tersebut, satu Pasukan Operasi telah diaturgerak ke lokasi bagi melaksanakan tugasan dan operasi berkenaan. Hasil pemeriksaan mendapati, kelapan-lapan lelaki (awak-awak termasuk tekong) yang diperiksa adalah warga negara Thailand dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot tersebut ditahan semasa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu disyaki menunda atau memukat ikan kurang dari jarak yang telah ditetapkan di dalam Buku Lesen. Menurut tekong, bot tersebut dipercayai berasal dari Mukah. Bot berkenaan kemudiannya ditahan dan diiringi masuk ke Jeti LKIM Tg. Manis untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan selanjutnya. Sejumlah hasil tangkapan ikan campur juga turut dirampas.

Zon Maritim Tg. Manis akan terus mempergiatkan usaha pemantauan serta rondaan yang berterusan bagi memastikan sebarang aktiviti yang melanggar atau menyalahi undang-undang di laut dapat dibendung serta dibenteras dengan sewajarnya.

Oleh yang demikan, sebarang pelakuan salah laku serta kesalahan jenayah, pencerobohan zon menangkap ikan di laut atau sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang, pengadu bolehlah membuat aduan dengan menghubungi terus Bilik Operasi Zon Maritim Tg. Manis di talian: 084-613292/084-613293 atau MERS 999 (24 jam).