Category: Aidilfitri

PUSAT INTERNET KAMPUNG TAEE ANJUR SAMBUTAN HARI GAWAI RAYA 2019

SERIAN- Pusat Internet Kampung Taee, Serian dengan jayanya telah menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Gawai dan Raya 2019 di Kampung Taee, Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis (CEO) Maxis iaitu Encik Gokhan Ogut telah membuat lawatan ke Pusat Internet Kampung Taee sempena Majlis Sambutan Gawai Raya 2019.

Dalam kunjungannya ke Sarawak, ini adalah kali pertama beliau ke Kampung Taee setelah dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Maxis pada Mei lalu.

Beliau turut ditemani oleh Ketua Jualan dan Perkhidmatan Maxis iaitu Encik Tan Lay Han, Ketua Wilayah Maxis Sarawak Encik Alexius Bong, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Puan Mariam Bevi Batcha.

Selain itu, majlis ini turut dihadiri oleh En. Scott Kueh Sui Yek iaitu Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) Wilayah Sarawak.

Kesemua tetamu telah disambut meriah oleh Ketua Kaum En. Jacques Kantuh, Pengurus Pusat Internet Cik Ramlah Osman, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Taee dan seluruh penduduk Kampung Taee.

Pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya ialah persembahan kebudayaan, lawatan ke Pusat Internet Kampung Taee dengan menyaksikan Live Tutorial E-Kelas, cabutan bertuah selain jamuan untuk tetamu yang hadir.

“Ini adalah kali pertama CEO Maxis dan VIP ke Kampung Taee, jadi kami harus berikan yang terbaik, supaya mereka akan ingat kami disini’’, kata Pengurus Pusat Internet Kampung Taee.

Maxis turut menaja 30 orang penduduk kampung Taee yang berpakaian penuh tradisional dengan Kad Isian semula (Reload) Hotlink RM30.

Pusat Internet Kampung Taee terpilih untuk menganjurkan sambutan Gawai Raya berikutan sebagai hadiah kemenangan Tempat Pertama Pertandingan Dekorasi Gawai Raya oleh Maxis E-Kelas.

Maxis telah menganjurkan program E-Kelas kepada 72 buah Pusat Internet di Malaysia daripada 118 buah Pusat Internet dibawah kelolaan Maxis. E-Kelas merupakan program pembelajaran digital dan interaktif secara Percuma kepada pelajar Darjah 6 hingga Tingkatan 5. Sekiranya ingin mengetahui lebih lanjut, boleh melayari http://www.ekelas.com.my.

Bertemakan konsep tradisional, semua pengunjung mengenakan pakaian tradisi kaum Bidayuh dan juga kaum Melayu. Ini telah menunjukkan semangat perpaduan dan ukhuwah sesama masyarakat di Kampung Taee.

Kesemua tetamu berasa teruja dengan komuniti Kampung Taee dan berharap akan kembali lagi pada masa hadapan.

RAMAH TAMAH GAWAI RAYA SATUKAN USAHAWAN

KUCHING: Ramah-tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad (KUBSB) berjaya menyatukan usahawan kalangan ahli koperasi.

Setiausaha Agung KUBSB Alfian Yusop berkata, dengan adanya majlis tersebut ukhuwah kalangan usahawan dapat ditingkatkan sekali gus menjadikan KUBSB bertambah kuat.

“Ahli dalam KUBSB bukan sahaja disarankan bekerja keras untuk meningkat perniagaan masing-masing malah bekerjasama untuk menguatkan organisasi dalam KUBSB,” katanya dalam kenyataan sempena penganjuran

Ramah tamah Aidilfitri dan Ngiling Bidai Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad Sarawak (KUBSB) malam semalam.

Pada majlis tersebut KUBSB menyampaikan sumbangan wang khairat kematian dan pelajaran (anak ahli cemerlang dalam peperiksaan) untuk ahli.

Alfian berkata, penganjuran Bazar Aidilfitri Satok yang menerima lebih 100,000 antara kejayaan KUBSB tahun ini.

Katanya, berdasarkan kaji selidik Bazar Aidilfitri Satok antara bazar terbesar di Malaysia menyaingi bazar ternama di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, pihaknya berharap Kerajaan Sarawak terus memberi peluang kepada KUBSB untuk menganjurkan Bazar Aidilfitri Satok pada masa akan datang.

“Penganjuran Bazar Aidilfitri Satok sejak tahun 2007 diadakan. Ia disertai usahawan kaki lima terutama usahawan bumiputera.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Kerjaan Sarawak menerusi DBKU dan semua terlibat termasuk ahli.

“Kami yakin penganjuran tahun depan lebih berprestij dan jumlah pengunjung mencecah lebih 100,000 orang,” katanya.

Seramai 75 peniaga berniaga di Bazar Aiedilfitri Satok yang berlangsung selama 18 hari baru-baru ini.

UNIKNYA SAMBUTAN GAWAI RAYA KRT BAHAGIAN SRI AMAN

Objektif Program Ikatan Perpaduan Sempena Gawai Raya 2019 KRT Bahagian Sri Aman.

Mewujudkan peluang kepada ahli Rukun Tetangga untuk berkenalan dam berinteraksi diantara satu sama lain.

Meningkatkan lagi persefahaman dan hubungan antara pelbagai kaum

Mewujudkan dan menyemaikan nilai nilai yang mampu membudayakan perpasuan serta kesejahteraan rakyat.

Majlis dirasmikan YB Tuan Ali Biju Ahli Parlimen P205 Saratok.

Menurut kata YB. “Uniknya Sarawak Sambutan Gawai Raya disambut bersama tanpa mengira kaum, budaya dan agama. Kekalkan perpaduan antara kaum di Sarawak” contohnya YB hari ini segak bergaya dengan berbaju melayu bersongkok dan bertopi melayu.

Dalam majlis bersama YB turut menyumbangkan 20ribu kepada KRT Bahagian Sri Aman untuk menjayakan program Gawai Raya 2019.

Arfathma Abadi

KES GADOH GUNA TONG GAS TULAR BUKAN BERLAKU DI KAWASAN BAZAR AIDILFITRI SATOK

KUCHING: Kes pergaduhan malam sebelum Hari Raya Aidilfitri yang tular di media sosial bukan berlaku di kawasan Bazar Aidilfitri Satok yang dikendalikan Koperasi Usahawan Bumiputera Sarawak Berhad (KUBSB).

Pengerusi KUBSB, Razemi Sarbini berkata, berdasarkan penelitian, ia berlaku di kawasan parkir kereta membabitkan peniaga kaki lima kanopi biru.

Menurutnya, sehubungan itu, peniaga di kaki lima bukan di bawah kendalian KUBSB dan insiden terbabit tiada kaitan langsung dengan KUBSB.

“Kami amat terkilan dengan insiden pergaduhan malam tersebut yang menjadi tular warganet kerana ia menjejaskan nama penganjur.

“Kami menyarankan supaya pemantauan lebih ketat peniaga di kawasan parkir pada masa akan datang

kerana ia boleh menjejaskan kredibiliti Bazar Aidilfitri Satok,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar

Beliau berkata, semua peniaga Bazar Aidilfitri Satok telah memberi komitmen tinggi dengan tidak melanggar syarat ketat dikeluarkan penganjur termasuk menjual barang terlarang seperti mercun dan sebagainya.

Katanya, Bazar Aidilfitri Satok berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung selama 18 hari berlangsung pada tahun ini.

Bazar Aidilfitri dianjurkan lebih 10 tahun oleh KUBSB.

“Terima kasih kepada ribuan pengunjung yang memberi sokongan kepada peniaga tempatan sepanjang aktiviti jualan Bazar Aidilfitri berlangsung.

“Kami mengakui Bazar Aidilfitri Satok antara bazar yang paling popular di Sarawak tidak hairan ia antara bazar yang ditunggu-tunggu masyarakat bukan sahaja dari Kuching tetapi dari luar termasuk Lawas dan Semenanjung.

“Bazar ini bukan sahaja membantu usahawan tempatan tetapi telah berjaya menarik pelancong tempatan dari Semenanjung Malaysia serta luar negara,” katanya.

Tegasnya, KUBSB tidak teragak-agak mengambil tindakan keras terhadap pihak tidak bertanggungjawab dalam memburukkan nama KUBSB dengan mengaitkan insiden pergaduhan tersebut.

Katanya, KUBSB mencadangkan balai polis bergerak di tempat kaki lima atau parkir bagi mengawal kehadiran ribuan pengunjung pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada DBKU dan kerajaan negeri kerana memberi kelulusan dan sokongan penganjuran Bazar Aidilfitri Satok.

“Kami mengakui sekiranya ada kekurangan yang ada kami akan berusaha mengatasi pada masa akan datang supaya tidak berulang kembali.

“Sehubungan itu, kami berharap mendapat kerjasama dan sokongan daripada pihak berkuasa terutama polis bagi memastikan keselamatan pengunjung sempena berlangsung Bazar Aidilfitri pada masa akan datang.

“Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Hari Gawai Dayak kepada semua rakyat Sarawak,” ujarnya.

NUKUK BEDOK PADA MALAM RAYA AIDILFITRI DI KPG PULAU SEDUKU SRI AMAN

Beduk ditukuk atau di palu menandakan waktu solat telah tiba biasa kita dengari. Namun lain pula di Kpg Pulau Seduku, Sri Aman Sarawak dari tahun 1930an hingga kini. Beduk ditukuk untuk meraikan malam hari raya pertama. Kebiasaan ditukuk selesai solat Isyak sehingga pagi raya. Golongan tua, dewasa kanak-kanak saling berebut nak menukuk beduk.

Namun sejak peralihan zaman budaya menukuk beduk makin pupus ditelan zaman. Malah nada atau irama paluannya tak seindah dulu. Malah ramai yang tak tahu menukuk beduk masa kini.

Sejak penduduk Pulau Seduku dipindahkan ke penempatan baru Agropolitan Pulau Seduku,budaya menukuk beduk makin hilang dihati mereka. Mungkin faktor perubahan zaman menyebabkan golongan generasi baru lebih suka dengan budaya baru meraikan malam raya. Kalau dulu malam raya wajib nukuk beduk. Namun kini diganti letupan mercun dan bunga api.

Namun Haji Sulaiman bin Endeng dan beberapa orang generasi tua masih mempertahankan budaya menukuk beduk. Golongan belia pun ada mencuba tapi tak seindah dan seirama paluannya. Bagi saya budaya menukuk beduk harus dikekalkan agar generasi akan datang kenal budaya kaum mereka.

Beduk Masjid Pulau Seduku ini wujud puluhan tahun dahulu. Beduk ini dibuat menggunakan batang kayu sebesar dua pemeluk dan mula dibuat dalam tahun 1930an. Manakala kulit lembu disimpei menggunakan rotan dipermukaan lubang kayu balak yang telah dilubangkan. Kemudian ditala dengan bongkahan kayu kecil untuk menghasilkan bunyi yang merdu dan mantap.

Bagi saya budaya menukuk beduk di malam raya harus dikekalkan untuk tatapan generasi akan datang.

Arfathma Abadi

Indahnya budaya kampungku.

PENINGKATAN ALIRAN TRAFIK DI PANGKALAN FERI SEBUYAU/TRISO DI BAHAGIAN SAMARAHAN BERSEMPENA PERAYAAN HARI GAWAI DAYAK DAN CUTI SEKOLAH

Peningkatan aliran trafik di pangkalan Feri Sebuyau/Triso di Bahagian Samarahan mulai semalam dan pengguna diingatkan supaya bersabar dan bertolak ansur ketika menuju ke destinasi masing-masing pada musim perayaan dan cuti sekolah ini.

Peningkatan jumlah kenderaan dapat dilihat bermula dari awal pagi semalam namun keadaan masih lagi terkawal dan ini menyebabkan kenderaan berbaris panjang semasa menunggu giliran menggunakan feri untuk menyeberangi Batang Lupar dari Sebuyau Bahagian Samarahan ke Triso Bahagian Betong.

Kini terdapat tiga feri beroperasi di pangkalan Feri Sebuyau/Triso di Bahagian Samarahan. Antara langkah diambil bagi menampung jumlah kenderaan yang semakin banyak menggunakan perkhidmatan feri adalah bermula dari 25 Mei sehingga 16 Jun ini di pengkalan Feri Sebuyau/Triso, untuk Feri Pertama masa operasi dari 6 pagi dilanjutkan sehingga 12 tengah malam, Feri Kedua beroperasi dari 4 pagi akan dilanjutkan sehingga keesokan 2 pagi dan Feri Ketiga akan beroperasi seperti biasa dari jam 8 pagi sehingga 10 malam.

Ini bermakna terdapat tiga feri beroperasi di waktu 8 pagi sehingga 10 malam. Namum begitu, operasi feri tidak dapat menampung peningkatkan aliran trafik secara mendadak dimana perantau yang mahu balik kampung untuk meraikan perayaan berganda ini mula bergerak dari semalam dan menggunakan jalan persisiran merupakan punca utama menyebabkan kenderaan berbaris panjang di sebelah Sebuyau, bandingan aliran trafik dari sebelah Triso.

Mohon kerjasama dari nelayan-nelayan tempatan supaya tidak memasang pukat berdekatan dengan laluan feri. Akitiviti nelayan yang memasang pukat di laluan feri telah mengganggu dan menjejaskan kelancaran operasi feri. Ini menyebabkan feri terpaksa memperlahankan operasi di mana masa diambil untuk menyeberangi lebih panjang.

Pengguna jalan raya yang menggunakan perkhidmatan feri dinasihati supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan feri dan memberi kerjasama supaya tidak memotong barisan serta mengikut arahan krew feri yang bertugas terutama semasa kenderaan memasuki dan keluar dari feri.

Ingin diingatkan bahawa, hanya pemandu sahaja dibenarkan berada di dalam kenderaan dengan cermin dibuka sepenuhnya manakala semua penumpang lain tidak dibenarkan berada di dalam kenderaan masing-masing ketika feri sedang bergerak. Ketika kenderaan berada di dalam feri, enjin hendaklah dimatikan, brek tangan ditarik dengan ketat dan pengguna dinasihati supaya sentiasa peka terhadap lokasi alat bantuan kecemasan seperti jaket, pelampung dan rakit keselamatan.

CAWANGAN KOMUNIKASI KORPORAT

JABATAN KERJA RAYA SARAWAK

Tarikh : 31 Mei 2019