DUA BUAH BOT NELAYAN TEMPATAN DITAHAN KERANA MELANGGAR SYARAT SAH LESEN

KABONG, 8 Februari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Manis telah menahan dua buah Bot Nelayan Tempatan (BNT) Kelas “A” dan “B” masing-masing di kedudukan lebih kurang 2.2 dan 2.5 Batu Nautika Barat Daya Kabong. Kedua-dua bot berkenaan ditahan sekitar jam 8.00 dan 9.00 pagi.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz bin Md. Kassim berkata, operasi ini dijalankan setelah menerima maklumat aduan awam mengenai bot pukat tunda yang berleluasa di kawasan berkenaan yang kerapkali menangkap ikan dengan menunda serta melanggar zon menangkap ikan sebagaimana telah ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Sejurus dari laporan tersebut, satu Pasukan Operasi telah diaturgerak ke lokasi bagi melaksanakan tugasan dan operasi berkenaan. Hasil pemeriksaan mendapati, kelima-lima lelaki (awak-awak termasuk tekong) yang diperiksa adalah warga negara tempatan dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot tersebut ditahan semasa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu disyaki menunda atau memukat ikan kurang dari jarak yang telah ditetapkan di dalam Buku Lesen. Menurut tekong, kedua-dua bot berkenaan adalah berasal dari Beladin dan menjalankan kerja-kerja memukat di sekitar perairan Kabong. Bot-bot tersebut kemudiannya ditahan dan diiringi masuk ke Jeti Terminal Tg. Manis untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan selanjutnya. Sejumlah hasil tangkapan ikan campur-campur juga turut dirampas.

Zon Maritim Tg. Manis (ZMTM) akan terus memperkasa dan mempergiatkan usaha pemantauan serta rondaan yang berterusan bagi memastikan sebarang aktiviti yang melanggar atau menyalahi undang-undang di laut dapat dibendung serta dibenteras dengan sewajarnya.

Oleh yang demikan, sebarang pelakuan salah laku serta kesalahan jenayah, pencerobohan zon menangkap ikan di laut atau sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang, pengadu bolehlah membuat aduan dengan menghubungi terus Bilik Operasi, Zon Maritim Tg. Manis di talian 084-613292/084-613293 atau MERS 999 (24 jam).

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.