BOT TUNDA MEMBAWA BARGE MUATAN BATU KELIKIR DITAHAN

TANJUNG MANIS, 5 Februari – Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Manis telah menahan sebuah bot tunda bersama sebuah barge di kedudukan lebih kurang 0.9 batu nautika Barat Tg. Jerijeh, kira-kira jam 1.30 petang.

Bot tunda dan barge itu yang sarat dengan muatan batu kelikir dikesan bergerak dalam keadaan yang mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati; bot terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 37(3), Akta Kastam 1967 iaitu gagal mengemukakan Pas Pelepasan Pelabuhan atau “Port Clearance” semasa pelayaran. Jika sabit kesalahan, pemilik bot boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 1,000.00.

Bot berkenaan dikendalikan oleh 6 kru termasuk master yang terdiri daripada 3 warga tempatan dan lagi 3 warga India yang memiliki passport dan dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot dan barge berkenaan kemudiannya diiringi masuk ke Jeti HSL, Tanjung Manis untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Zon Maritim Tanjung Manis bagi tindakan selanjutnya.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim berkata; pihaknya amat komited dan akan terus mempergiatkan usaha pemantauan serta rondaan yang berterusan bagi memastikan sebarang aktiviti yang melanggar atau menyalahi undang-undang di laut dapat dibendung serta dibenteras dengan sewajarnya.

Sebarang pelakuan salah laku serta kesalahan jenayah atau pencerobohan zon larangan menangkap ikan di laut; pengadu bolehlah membuat aduan dengan menghubungi Bilik Operasi, Zon Maritim Tanjung Manis di talian: 084-613292/084-61329 atau MERS 999 (24 jam).

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.