PESTA TASIK BIRU BERMULA JUMAAT HINGGA AHAD INI

BAU: Pesta Tasik Biru 2019 dijangka menarik 40,000 sepanjang tiga hari berlangsung bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Pesta Tasik Biru yang genap 60 tahun bakal menampilkan pelbagai aktiviti berbeza daripada tahun sebelumnya menerusi program yang dirancang.

Acara yang menjadi tumpuan ialah pertandingan jong regata dan jong cantik yang popular di kalangan masyarakat tempatan.

Pegawai Daerah Bau Anielia Sitam, merangkap pengerusi jawatankuasa pengelola Pesta Tasik Biru berkata, sambutan pengunjung dijangka meningkat 40,000 kerana penganjuran berlangsung sempena cuti sekolah.

Menurutnya, acara lain yang berlangsung iaitu pentas rakyat dan persembahan kebudayaan, pertandingan Mr, Mrs Talent Bau Tasik Biru dan Zumba.

“Pelbagai lagi acara yang berlangsung iaitu sukan rakyat, gusti lengan, pertandingan e-sports, Kasus Saberkas Tasik Biru dan Bau boat ride tour.

“Program pengisian bagi memeriahkan Pesta Bau ialah jualan hasil tani, kraf tangan dan usahwan pertanian, pameran agensi kerajaan,” katanya.

Semalam berlangsung program gotong-royong perdana di Tapak Pesta Tasik Biru.

Beliau berkata, antara objektif Pesta Tasik Biru 2019 ialah untuk mempopular dan mempromosikan Tasik Biru sebagai destinasi pelancongan serta memperkenalkan acara sukan air yang amat unik dan tidak terdapat di tempat lain.

Di samping itu, katanya, pesta ini diharap dapat menarik pelancong dari luar dan dalam datang ke Daerah Bau sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi masyarakat tempatan.

Sehubungan itu, orang ramai dijemput datang beramai-ramai untuk menyaksikan Pesta Tasik Biru 2019.

Perasmian Pesta Tasik Biru dan pecah tanah Projek Jambatan Tasik Biru disempurnakan oleh Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Julaihi Narawi pada petang Jumaat.

Majlis Pelancaran One Stop Committee (OSC) bagi menangani isu dadah peringkat daerah Bau disempurnakan Adun Tasik Biru, Datuk Henry Harry anak Jinep pada Sabtu.

Majlis penangguhan Pesta Tasik Biru disempurnakan Menteri Pelancongan, Keseian, Kebudayaan Sarawak Merangkap Menteri Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada Ahad.

Leave a Reply