BOT NELAYAN TEMPATAN DITAHAN KERANA MELANGGAR SYARAT SAH LESEN

MUKAH, 22 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Manis telah menahan sebuah Bot Nelayan Tempatan Kelas “C2” di kedudukan lebih kurang 21.6 Batu Nautika Utara Mukah. Bot berkenaan ditahan pada 21 November jam 1.31 petang.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mohd Ariz bin Md. Kassim berkata, operasi ini dijalankan setelah menerima maklumat aduan awam mengenai bot pukat tunda yang berleluasa di kawasan berkenaan yang kerapkali menangkap ikan dengan menunda serta melanggar zon menangkap ikan sebagaimana telah ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.

Sejurus dari laporan tersebut, satu Pasukan Operasi telah diaturgerak ke lokasi bagi melaksanakan tugasan dan operasi berkenaan. Hasil pemeriksaan mendapati, kelapan-lapan lelaki (awak-awak termasuk tekong) yang diperiksa adalah warga negara Thailand dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Bot tersebut ditahan semasa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b), Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu disyaki menunda atau memukat ikan kurang dari jarak yang telah ditetapkan di dalam Buku Lesen. Menurut tekong, bot tersebut dipercayai berasal dari Mukah. Bot berkenaan kemudiannya ditahan dan diiringi masuk ke Jeti LKIM Tg. Manis untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan selanjutnya. Sejumlah hasil tangkapan ikan campur juga turut dirampas.

Zon Maritim Tg. Manis akan terus mempergiatkan usaha pemantauan serta rondaan yang berterusan bagi memastikan sebarang aktiviti yang melanggar atau menyalahi undang-undang di laut dapat dibendung serta dibenteras dengan sewajarnya.

Oleh yang demikan, sebarang pelakuan salah laku serta kesalahan jenayah, pencerobohan zon menangkap ikan di laut atau sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang, pengadu bolehlah membuat aduan dengan menghubungi terus Bilik Operasi Zon Maritim Tg. Manis di talian: 084-613292/084-613293 atau MERS 999 (24 jam).

Leave a Reply