PENINJU MUAYTHAI DUNIA BERENTAP DI BINTULU

Kejohanan Muaythai Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak

Peninju Muaythai handalan dunia dijangka bertarung pada Kejohanan Muaythai Piala Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak di Naim Street Mall, Bintulu pada 22 hingga 24 November ini.

Presiden Persatuan Muaythai Sarawak, Jumaat Ibrahim berkata, lebih 50 pertarungan melibatkan petinju dalam dan luar negara berlangsung sepanjang kejohanan berlangsung.

Menurutnya, saingan kali ini turut disertai peninju ternama dari Thailand, Indonesia, Norway termasuk Semenanjung Malaysia yang akan bertarung dalam beberapa kategori.

“Peminat Muaythai tidak harus melepaskan peluang menyaksikan peninju profesional dari Thaiand dan Malaysia berentap memburu kejuaraan,” katanya.

Beliau berkata, kejohanan dianjurkan dengan kerjasama antara Persatuan Muaythai Sarawak dan Bintulu Chinese Chamber & Industry.

“Tetamu kenamaan, Yang Di-Pertua Tun Taib Mahmud dijangka hadir pada majlis penyerahan Piala TYT pada 23 Disember nanti.

“Manakala Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka hadir,” ujarnya.

Beliau berkata, objektif kejohanan untuk mempromosi sukan Muaythai kalangan masyarakat terutama generasi muda.

“Kejohanan ini antara aktiviti sihat yang menekankan disiplin tinggi dan berfaedah untuk semua peserta,” katanya.

Leave a Reply