KEPUTUSAN PRU KE-14 MENDORONG PH MENUMBANG GPS

Suasana politik di dalam sesebuah negeri mahupun negara amat berbeza dari satu tempat ke satu tempat. Malah, dari satu kawasan ke satu kawasan yang lain di Sarawak. Keputusan PRU ke-14 telah menjadi perangsang kepada peninjau dan peminat politik di Sarawak. Ia juga membuka ruang kepada mereka yang mempunyai aspirasi untuk terlibat secara langsung dalam politik dan hendak memegang jawatan penting dalam parti politik serta seterusnya menjadi calon dalam pilihanraya.

Faktor-faktor yang saya sebutkan ini adalah fenomena biasa di dalam sesebuah pentadbiran parti politik yang berhasrat untuk menerajui sesebuah kerajaan. Kalau pada zaman dahulu, sebelum wujudnya akses untuk pergi ke pedalaman, cabaran untuk parti pemerintah tidaklah seperti pada hari ini. Aksesibiliti dari segi jalanraya, kemudahan elektrik dan air sudah meningkat, dan tambahan lagi dengan talian perkhidmatan internet yang juga meningkat, mendorong parti politik lawan untuk menawan negeri Sarawak, kerana ianya semakin mudah untuk pergi ke kampung-kampung. Sesungguhnya, bukti sebegini turut menafikan pertuduhan bahawa kerajaan sebelum ini tidak berbuat apa-apa. Kalau mereka menuduh pemerintah yang sebelum ini tidak berbuat apa-apa maka mereka tidak berkata benar, malah pemimpin yang dulu memerintah dalam BN, juga menjadi pemimpin kerajaan sekarang, termasuk Perdana Menteri yang memimpin negara selama 22 tahun.

Saya banyak memerhati keadaan politik terkini di Malaysia, terutama sekali mereka yang menyertai parti dari luar Sarawak, budaya mereka amat berbeza dari kita dari parti dalam negeri. Saya hanya menyentuh mengenai parti lokal Sarawak sahaja. Cara kita amat berbeza, masih terikat kepada budaya Sarawak, tidak sampai hati untuk menggunakan perkataan mengutuk berbanding dengan parti dari luar. Kita boleh lihat pada hari ini, melalui video yang diviralkan, bagaimana mereka yang berada dalam parti gabunngan pemerintahan sekarang ini mengutuk dan menghina pucuk kepimpinan dengan begitu keji sekali. Memang tidak dapat dinafikan tiada kawan dan lawan yang kekal dalam politik. Memang betul pun. Namun demikian, apabila kutukan dan bukan kritikan melampaui batasan terlalu bersikap keperibadian, adakah manusia yang dikutuk itu lupa? Inilah senario politik pada hari ini, di mana di kalangan mereka sendiri mempunyai satu perhubungan yang rapuh atau fragile kerana saling tidak mempercayai satu sama lain. Sehingga hari ini penasihat kerajaan, Tun Daim dan Perdana Menteri sendiri masih mengeluarkan kenyataan mengenai cara menteri PH menjalankan tugas mereka. Mengatakan mereka masih baru adalah kurang tepat kerana sudah setahun, menteri masih bersikap nak popular mengeluarkan kenyataan. Suasana ini menggambarkan sama ada PH tidak ada sistem yang kukuh untuk dipatuhi, ataupun menteri masing-masing hanya patuh kepada pemimpin parti mereka sahaja dan bukan kepada Perdana Menteri sebagai menteri Kabinet.

Berbalik kepada keadaan politik di Sarawak pula. Cara berpolitik di antara kawasan bandar dan di luar bandar amat berbeza. Begitu juga isu yang relevan juga berbeza mengikut kaum dan keadaan sekeliling. Dari pengamatan saya, isu rasuah amat tinggi diketengahkan oleh ahli politik di dalam bandar. Dan isu ini memang telah mempengaruhi pengundi di kawasan bandar sehingga beberapa kerusi telah dimenangi oleh parti lawan. Di kalangan pengundi di luar bandar pula, isu yang dekat di hati rakyat adalah isu tanah dan perkhidmatan asas seperti air, eletrik dan jalanraya.

Pada PRU ke-14, banyak projek infra terutama sekali di kawasan luar bandar, dibina dan dalam proses pembinaan, bermakna pembangunan telah meningkat. Pembangunan infra adalah satu usaha yang berterusan dan ini dijadikan isu besar oleh parti lawan seolah-olah pemerintahan lama tidak berbuat apa-apa. Kekalahan di kawasan luar bandar bukan disebabkan oleh isu-isu pembangunan, kerana rakyat setempat boleh melihat sendiri peningkatan dari segi pembangunan yang dibawa oleh kerajaan BN.

Punca kekalahan di luar bandar adalah disebabkan oleh politik dalaman. Misalnya calon tidak disukai penduduk setempat, parti lawan menangguk di air yang keruh masalah dalaman parti, isu tanah diketengahkan pada masa pilihanraya yang begitu singkat untuk dijelaskan. Kesemua ini berlaku pada setiap pilihanraya. Cuma, dengan media sosial, ia mempengaruhi golongan belia yang mempercayai sepenuhnya segala isu yang diketengahkan, kerana belia hanya bergantung kepada maklumat dari sosial media yang kebanyakannya tidak memberi berita sebenar. Banyak cerita palsu atàu fake news.

Parti GPS tidak boleh memandang ringan dalam hal ini. Dalam pemerhatian saya, wakil rakyat GPS terlalu sibuk bertugas di lapangan menemui rakyat tidak kira semasa pilihanraya ataupun tidak, sehingga parti lawan mengambil ruang dalam sosial media untuk menyebarkan maklumat tidak tepat dan mengutuk wakil rakyat dari GPS. Dan nampak peningkatan di kalangan pengamal media sosial juga mula menggunakan media sosial untuk memohon sesuatu untuk kawasan kampung mereka dari wakil rakyat mereka, walaupun mereka terdiri dari orang parti sendiri. Implikasi perbuatan mereka digunapakai oleh pihak parti lawan untuk mengkritik serta mengutuk wakil rakyat setempat. Wakil Rakyat GPS amat beruntung sekali kerana kerajaan Sarawak mempunyai peruntukan yang lumayan untuk membantu membangun kawasan mereka masing-masing.

Apa yang mendorong parti lawan untuk menjatuhkan kerajaan Sarawak sedia ada?

1.Sarawak sudah lebih membangun dan maju berbanding 20 tahun lalu;

2. Sumber hasil pendapatan Sarawak banyak seperti minyak, hasil hutan, lada, kelapa sawit, getah dan pelbagai lagi kerana tanah Sarawak subur;

3. Kekuatan kewangan Sarawak di atas kebijaksanaan pemimpin Sarawak mengurus sumber kewangan Sarawak;

4. Sarawak mempunyai kuasa untuk mempertingkatkan sumber kewangan melalui kuasa autonomi seperti termaktub dalam perlembagaan;

5. Kerajaan Sarawak sekarang sedang berurusan dengan kerajaan persekutuan untuk menguatkuasa autonomi yang sedia termaktub dalam perlembagaan. Kalau parti lawan ambil alih kerajaan, mereka kata ini usaha mereka; dan

6. Banyak lagi potensi sumber kekayaan Sarawak yang boleh di explore.

Ramai golongan Bumiputera merasa ini lah masa untuk mereka merobah politik Sarawak. Politik di mana-mana sahaja adalah sama walaupun tidak serupa. Pada pilihanraya akan datang, ianya tidaklah semudah yang kita lihat. Dengan bertambahnya parti politik yang memasuki Sarawak, kita sudah nampak bagaimana Malaya mahu mencampuri urusan dalaman Sarawak. Kemasukan parti semacam kulat yang tumbuh. Ini akan mengundang perpecahan di kalangan kaum Bumiputera, mengundang perselisihan politik dalaman PH misalnya, PKR bukan sahaja semakin retak kerana pertelagahan di kalangan ahli mereka untuk mengikuti pemimpin yang mana akan menerajui parti mereka di peringkat atasan, dan adanya lagi Parti PAN, Parti PPBM, DAP, yang kesemuanya dari Malaya. Bertembung lagi dengan Parti Gabungan Parti Sarawak, maka perpecahan di kalangan rakyat Sarawak akan kelihatan semakin ketara. Konflik dalaman parti juga akan menjadi faktor yang utama apabila pilihanraya nanti. Dalam mana-mana suasana poltik kesemua faktor yang disebutkan akan tetap ada. Ini juga akan berlaku di dalam parti-parti yang baru bertapak di Sarawak.

Coretan Yb DS Nancy Shukri

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s