VIRAL TIDAK TEPAT : HANYA SATU KES DENGGI DI KPG LUSUT ,TIADA KES DI TAMAN TUNKU MIRI

gambar hiasan

STATUS TERKINI MENGENAI ISU TULAR WABAK DENGGI DI MIRI, SARAWAK

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak ingin merujuk kepada status terkini berhubung mesej tular di media sosial mengenai wabak Demam Denggi yang dikatakan berlaku di Kampung Lusut dan Taman Tunku di Miri, Sarawak.

Dimaklumkan bahawa kandungan mesej tersebut adalah tidak tepat. JKN Sarawak ingin mengesahkan bahawa hanya terdapat satu kejadian wabak Demam Denggi iaitu yang berlaku di Kampung Lusut Jaya 3, Miri. Sebaliknya, tiada kejadian wabak denggi melibatkan Taman Tunku, Miri.

Usaha menangani wabak Demam Denggi di Kampung Lusut Jaya 3 telahpun dilaksanakan melalui aktiviti kawalan dan pencegahan yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi terutamanya Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Miri, Pejabat Daerah Miri, Majlis Bandaraya Miri, Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta penduduk setempat.

Justeru, JKN Sarawak ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kawasan persekitaran di dalam dan luar rumah mereka sentiasa bersih dan bebas dari pembiakan nyamuk Aedes. Oleh demikian, bagi mencegah penyakit Demam Denggi, orang ramai dinasihati untuk mengambil langkah-langkah seperti berikut: –

1. Memusnahkan tempat-tempat yang boleh menakung air dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes setiap minggu;

2. Melakukan penyemburan racun serangga (aerosol) di dalam premis kediaman bagi membunuh nyamuk Aedes dewasa;

3. Sekiranya mengalami demam, segeralah pergi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan berhampiran. Sebarang kelewatan bertindak boleh membawa maut; dan

4. Sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan Demam Denggi mengikut panduan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan melayari laman sesawang di www.myhealth.gov.my atau www.infosihat.gov.my.

Sekian, terima kasih.

DR. JAMILAH BINTI HASHIM Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak 4 April 2019

Leave a Reply