PESTA GEDONG 2019 Kerajaan Sarawak tidak ‘Buruk Siku’ setiap projek rakyat yang diumum di laksanakan – CM Sarawak

GEDONG: Kerajaan Sarawak bukan ‘kerajaan buruk siku’ malah sentiasa mengotakan setiap janji projek-projek rakyat yang diumumkan sebelum ini.

Ketua Menteri, Yang Amat Berhormat, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, setiap projek pembangunan yang diumumkan oleh Kerajaan Sarawak akan dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.

Pekan Gedong

Pekan Gedong

Bagaimanapun katanya, beliau agak ‘kecewa’ dengan tindakan Kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) yang telah menarik balik beberapa projek pembangunan khususnya melibatkan pembinaan Jambatan Batang Lupar, Batang Rambungan, Batang Igan serta projek lain.

“Tindakan menarik balik projek-projek tersebut jelas menunjukkan kerajaan di sana (PH) ‘buruk siku’.

“Namun, kita (Kerajaan Sarawak) tidak ‘buruk siku’, dengan setiap projek yang kita umumkan akan dilaksanakan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pesta Gedong 2019 di Panggung Terbuka Gedong di sini hari ini.

Turut hadir ialah, Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan, YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, YB Datuk Amar Haji Mohamad Asfia Bin Awang Nassar dan Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Menteri Muda E-Dagang merangkap Penaung Pesta Gedong 2019 dan ADUN N. 26 Gedong, YB Datuk Haji Mohd. Naroden bin Majais.

Sementara itu, Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari memberitahu, Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan, (IRSDA) akan ditubuhkan bagi merancakkan lagi pembangunan di Bahagian Samarahan termasuk kawasan Gedong dan Simunjan.

Jelas beliau, projek terbesar adalah di bawah Jabatan Pengaliran Dan Saliran menerusi pembangunan di Projek Penahan Hakisan Sungai yang memakan kos sebanyak RM200 juta

“Selain itu, RM50 juta diperuntukkan bagi pembinaan jambatan dari Gedong ke Lubuk Punggor dalam masa 2 tahun sekali gus mendekatkan lagi kawasan itu dengan bandar raya Kuching.

“Kerajaan Sarawak juga komited untuk meneruskan membina jalan-jalan dari Gedong sehingga ke Kepayang,” ujar beliau.

Sambil menambah, semua pembangunan ini merupakan usaha-usaha Kerajaan Sarawak bagi mencapai status negeri termaju pada tahun 2030.

iNFO UKAS

Leave a Reply