MAC RUHAYU .. DIAM-DIAM UBI BERISI

DISEBALIK riuh rendah dunia seni suara Malaysia yang sekarang agak suram seperti yang kita amati ada terselit satu cerita mengenai keberadaan seorang penyanyi anak Sarawak era 1990an sehingga berani tampil dengan single terbaru walau menyepi hampir 20 tahun lamanya. Single yang bertajuk “Moga Kau Mengerti”, lirik dan lagu oleh Rosli Ahmad dimuatkan di dalam kompilasi album 5 Suara Artis 90an sedang rancak dimainkan di corong-corong radio sekarang.

Mac Ruhayu binti Mohd Nor, begitulah nama sebenar seorang penyanyi kelahiran Sarawak yang sudahpun berhijrah dan bermastautin tetap di ibukota Kuala Lumpur, Malaysia sejak di tahun 2007 lagi. Beliau merupakan penyanyi anak Sarawak pertama pada eranya pernah ditawarkan untuk merakam album di sebuah produksi antarabangsa. Album pertamanya yang memuatkan hampir lapan buah lagu pada masa itu menjadi siulan anak muda terutama sekali lagu yang bertajuk “Ditakdirkan Kita Bersama”.

Menyelusuri cerita bakat seni anak Sarawak yang berdarah Inggeris/Iban/Melayu Sarawak dan Bengkulu ini diwarisi daripada keluarga kerana bondanya sendiri merupakan seorang penyanyi lama tersohor Sarawak iaitu Puan Rukayah binti Shukri. Dan jika kita menggodek sejarah keluarga pula, nama “Mac” itu sendiri sebenarnya adalah diwarisi daripada nama moyangnya seorang mantan kakitangan awam bangsa Eropah zaman Brooke memerintah di Sarawak iaitu Mendiang Andrew MacPherson yang pernah berkhidmat sebagai Residen di Bahagian Kapit suatu waktu dahulu. Tragedi yang menimpa moyangnya yakni dipancung oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua berlangsung kekal menjadi satu sejarah hitam keluarganya sehingga sekarang.

Sudah menjadi lumrah, ramai anak seni di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya lebih gemar memilih untuk melakukan kerja-kerja amal melalui jaringan pertubuhan bukan kerajaan maka tidak juga terkecuali dengan diri Mac Ruhayu sendiri. Ditambahlagi darah yang mengalir di dalam dirinya bukanlah sembarangan kerana nendanya Hajjah Bibi MacPherson adalah antara wanita Sarawak yang menjadi legenda dunia politik wanita Sarawak manakala bonda saudaranya iaitu Datuk Seri Hajjah Nancy Shukri merupakan Ahli Parlimen Batang Sadong menjadi pembakar semangat untuk beliau terus berbakti kepada masyarakat.

Dek kerana itulah tanpa kita sedari, insan disebalik berdirinya Pertubuhan Rangkaian Penjanaan Ekonomi Wanita (PRPEW) adalah hasil cetusan idea daripada beliau. Bersama-sama dengan NGO inilah yang ditubuhkan dua tahun yang lalu, beliau menabur bakti di dalam menghimpunkan perniagaan kecil-kecil wanita dari Borneo khususnya yang berada di Semenanjung Malaysia di dalam usaha untuk mempromosi dan memasarkan produk-produk mereka dengan lebih berkesan lagi.

Mungkin kita sendiri tidak terfikir di sebalik senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya, anak Sarawak bernama Mac Ruhayu ini telah melalui ranjau yang cukup berduri di dalam penghidupannya lebih-lebih lagi apabila membulatkan azam untuk berhijrah ke kota raya besar suatu waktu dahulu. Di ketika namanya kian meningkat naik sebagai anak seni di Malaysia, beliau mengorbankan segalanya demi untuk mencurahkan bakti menjaga ayahanda yang tidak sihat di Sungai Choh, Rawang, Selangor. Allahyarham ayahandanya merupakan seorang pegawai tentera berdarah Melayu Bengkulu berasal dari Sungai Choh, Rawang, Selangor yang kembali ke tanah kelahirannya untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya pada waktu itu.

Hidup berumahtangga ada pasang surutnya dan begitulah juga Mac Ruhayu apabila perkahwinan pertama dengan jejaka dari Sarawak terputus di tengah jalan. Demi untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil pada waktu itu, beliau meneruskan penghidupan sebagai penyanyi di sebuah hotel 5 bintang di Kuala Lumpur. Sekarang, empat anak bujang Mac Ruhayu yang berusia dari 24 tahun hingga yang bongsu berusia 15 tahun sudah mampu menjadi pelindung kepada ibu mereka yang tercinta. Dan yang lebih membanggakan biarpun Mac dikenali sebagai anak seni yang hanya dipandang sebelah mata oleh masyarakat namun dua daripada anaknya adalah hufaz yang mendapat pendidikan sepenuhnya di sekolah agama di Selangor. Manakala yang dua lagi turut berjaya ke menara gading meneruskan pendidikan mereka dan sudahpun berkerja.

Setelah hidup solo hampir berbelas-belas tahun atas nama membesarkan anak-anak sudah tiba masanya untuk Mac Ruhayu memikirkan masa depannya meneruskan hari-hari yang mendatang bersama insan yang tersayang. Dan berita gembira ini disampaikan secara peribadi kepada penulis sendiri sewaktu sidang temubual diadakan iaitu pada tanggal 27hb Mac 2019 ini nanti, Mac Ruhayu akan diijabkabulkan dengan pasangannya iaitu abang saudaranya sendiri dari keluarga Bengkulu di Sungai Choh, Rawang. Pemuda yang selama ini sentiasa ada di depan matanya sebagai saudara akhirnya berjaya membuka pintu hatinya untuk berkahwin lagi. Apa yang lebih menggembirakan kesemua urusan perkahwinan mereka diuruskan sendiri oleh anak-anaknya dengan dibantu oleh keluarga dari Sarawak dan Sungai Choh, Rawang.

Sama-samalah kita berdoa agar penghidupan penyanyi anak Sarawak, Mac Ruhayu akan terus diberkati baik di dalam arena seni suara tanahair dan juga penghidupan sebagai seorang isteri kelak. Mac Ruhayu biarpun sudah mencecah usia 44 tahun masih tetap kekal ayu dan masih lagi kuat pelat bahasa Melayu Sarawak sewaktu berbicara walau sudah lama tinggal di perantauan.

Salam tahniah dari kami dan semoga jodoh Mac Ruhaya kekal hingga ke jannah.

Mac Ruhayu… diam-diam ubi berisi.

Kredit: Borneo Oracle

Leave a Reply