PENGUMUMAN KEPUTUSAN SPM TAHUN 2018 SARAWAK

PENGUMUMAN KEPUTUSAN SIJIL PELAJARAN MALAYSIA (SPM) TAHUN 2018 NEGERI SARAWAK

Pendahuluan

Saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T kerana dengan izinNya saya diberi kesempatan untuk mengumumkan keputusan calon negeri Sarawak bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Tahniah saya ucapkan kepada semua pelajar yang telah menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu. Semua calon akan menerima keputusan masingmasing pada hari ini Khamis, 14 Mac 2019 mulai jam 10.00 pagi.

Keputusan bagi calon sekolah telah dihantar kepada semua Pengetua sekolah berkenaan melalui Unit Penilaian dan Peperiksaan, Pejabat Pendidikan Daerah Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang manakala keputusan peperiksaan bagi calon persendirian telah dihantar melalui pos.

Keputusan juga boleh disemak melalui mySMS 15888 bermula pukul 10.00 pagi, 14 Mac 2019 hingga 6.00 petang, 20 Mac 2019 dengan menaip SPM<jarak>Nombor Kad Pengenalan<jarak>Angka Giliran dan hantar sms ke 15888.

Sebagai makluman, sebanyak 275 pusat peperiksaan telah disediakan untuk mengendalikan peperiksaan SPM 2018 di negeri Sarawak. Pengendalian peperiksaan ini melibatkan 257 orang penyelia kawasan dan 2150 orang pengawas. Peperiksaan bertulis SPM 2018 telah dijalankan dari 13 November hingga 13 Disember 2018.

Peperiksaan SPM umumnya bertujuan untuk mengukur sejauh mana pencapaian akademik murid dalam pembelajaran yang diikutinya selama sebelas tahun dapat diiktiraf dengan pemberian sijil.

Dalam sistem pensijilan terbuka SPM yang diperkenalkan mulai tahun 2000, selain enam mata pelajaran teras, calon dibenarkan mengambil seberapa banyak mata pelajaran wajib dan elektif asalkan bersesuaian dengan jadual waktu peperiksaan.

Walau bagaimanapun, mulai tahun 2010 calon dibenarkan mendaftar sehingga 12 mata pelajaran. Namun kebanyakan calon mengambil sembilan dan sepuluh mata pelajaran.

Mulai tahun 2013, calon layak mendapat sijil bagi Peperiksaan SPM dengan syarat sekurangkurangnya lulus mata pelajaran 1103 Bahasa Melayu dan 1249 Sejarah berbanding hanya dengan syarat sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran 1103 Bahasa Melayu tahun-tahun sebelum ini. Calon yang tidak layak mendapat sijil akan diberi pernyataan keputusan.

Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan sistem penggredan baru mulai tahun peperiksaan 2009. Perubahan sistem penggredan ini bertujuan memperincikan pencapaian Gred A calon yang mencapai tahap sangat cemerlang di peringkat SPM. Perubahan ini melibatkan penambahan Gred A+ yang lebih tinggi daripada gred tertinggi 1A. Gred-gred lain diubah seperti jadual berikut:

Keputusan SPM dilaporkan berdasarkan pencapaian calon dan prestasi mata pelajaran. Indeks yang digunakan untuk menunjukkan pencapaian calon di seluruh negara ialah Gred Purata Kebangsaan (GPK), pencapaian calon di negeri ialah Gred Purata Negeri (GPN) dan pencapaian calon sekolah Gred Purata Sekolah (GPS).

Nilai GPK, GPN dan GPS yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. Prestasi sekolah tidak diukur berdasarkan bilangan calon yang lulus semua mata pelajaran tetapi mengikut pencapaian dalam setiap mata pelajaran yang diambil.

Kenyataan Umum

Pada tahun 2018, seramai 36,144 orang calon di Sarawak telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM. Daripada jumlah itu, 33,259 orang (92.02%) adalah calon Sekolah Menengah Kebangsaan, 412 orang (1.14%) merupakan calon sekolah di bawah agensi selain Kementerian Pendidikan Malaysia, 1069 orang (2.96%) pula adalah calon sekolah swasta manakala 1404 orang (3.88%) adalah calon persendirian.

Dalam peperiksaan SPM 2018, seramai 27,792 atau 85.21% daripada 32,617 orang calon Sekolah Menengah Kebangsaan yang hadir telah berjaya mendapat sijil SPM, iaitu dengan memenuhi syarat sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah berbanding dengan 83.21% bagi SPM 2017.

Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 2.00%. Pencapaian calon Negeri Sarawak pada tahun ini mengikut nilai Gred Purata Negeri (GPN) telah menurun daripada 5.17 pada tahun 2017 kepada 5.19 pada tahun 2018. Berdasarkan Gred Purata Negeri, prestasi pencapaian calon SPM bagi Negeri Sarawak pada tahun 2018 menurun sebanyak 0.02.

Analisis Keputusan SPM 2018

Dalam peperiksaan SPM 2018, sebanyak 60 mata pelajaran telah diambil oleh calon negeri Sarawak.

Daripada 60 mata pelajaran yang diambil oleh calon sekolah negeri Sarawak, 57 (95.00%) mata pelajaran mencapai peratus kelulusan melebihi 80%. Daripada jumlah itu, 26 (43.33%) mata pelajaran mencapai kelulusan 100%, 23 (38.33%) mata pelajaran mencapai kelulusan 90 hingga 99.9% sementara 8 (13.33%) mata pelajaran mencapai kelulusan 80 hingga 89.9%. Prestasi pencapaian bagi mata pelajaran tersebut adalah seperti Jadual 1 – Jadual 3. [5]

Selaras dengan pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Result Area – NKRA), sukacita saya maklumkan bahawa pencapaian sekolah-sekolah di seluruh Sarawak berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) mengikut kategori pencapaian adalah seperti dalam Jadual 5.

Sebahagian besar sekolah di Sarawak dapat dirumuskan sebagai berada dalam kategori pencapaian sekolah Cemerlang, Baik dan Memuaskan. 1 buah sekolah (0.55%) sahaja yang memperoleh Pencapaian Berpotensi.

Perbandingan Pencapaian Negeri dengan Kebangsaan Pencapaian calon negeri Sarawak dalam SPM 2018 mengatasi atau menyamai pencapaian peringkat kebangsaan dalam 47 mata pelajaran:

PRESTASI PENCAPAIAN SEKOLAH

Berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), 19 buah Sekolah Menengah Negeri Sarawak berjaya mencapai GPS 4.00 dan ke bawah. Sekolah Menengah yang mencapai gred yang teratas di negeri Sarawak adalah Sekolah Menengah Sains Kuching Utara, Padawan dengan nilai GPS 1.94, Sekolah Menengah Sains Miri dengan nilai GPS 2.30, SMK Sacred Heart, Sibu dengan nilai GPS 2.65, SMK St Elizabeth, Sibu dengan nilai GPS 2.70, Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching dengan nilai GPS 2.91, SMK Agama Tun Ahmad Zaidi, Kuching dengan nilai GPS 2.91, SMK Methodist, Sibu dengan nilai GPS 2.93 dan Sekolah Menengah Sains Kuching, Padawan dengan nilai GPS 2.97. Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri dengan nilai 3.07, SMK St Anthony, Sarikei dengan nilai GPS 3.32, SMK Tinggi Sarikei dengan nilai 3.59, SMK Tiong Hin, Sibu dengan nilai GPS 3.60, SMK Kwong Hua, Sibu dengan nilai GPS 3.64, SMK Agama Miri dengan nilai GPS 3.65, SMK Kubong, Limbang dengan nilai GPS 3.69, SMK Lutong, Miri dengan nilai GPS 3.78, SMK St Joseph, Miri dengan nilai GPS 3.92, SMK Jalan Oya, Sibu dengan nilai GPS 3.95 dan SMK Agama Sibu dengan nilai GPS 3.97.

Pencapaian Sekurang-kurangnya A- Dalam Semua Mata Pelajaran Yang Diambil.

Tahun 2018 menampakkan 23 buah Sekolah Menengah Kebangsaan yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 orang calon yang memperolehi minima Gred A- dalam semua mata pelajaran yang diambil. SMK Methodist, Sibu mempunyai 40 orang calon yang memperolehi sekurang-kurangnya Gred A- dalam semua mata pelajaran yang diambil, diikuti oleh SMK Sacred Heart, Sibu dan SMK St Elizabeth, Sibu masingmasing 25 orang.

Manakala SMK Lutong Miri, SMK Tung Hua, Sibu dan SMK St Anthony, Sarikei 21 orang. SMK Green Road Kuching 19 orang, SMK Chung Hua Miri 18 orang, SM Sains Kuching Utara, Padawan 17 orang. SMK Batu Lintang Kuching dan SMK Bintulu, 16 orang. SMK Sungai Maong Padawan dan SMK Tinggi Kuching 15 orang, SMK Sungai Tapang dan SMK Tinggi Sarikei 14 orang.

Kolej DPAH Abdillah Kuching, SMK St Teresa Kuching dan SMK Tiong Hin Sibu 12 orang. Diikuti oleh SMK Deshon Sibu, SMK Merbau Miri, Kolej TDT Haji Bujang Miri, SMK Chung Hua Sibu dan SMK Agama Tun Ahmad Zaidi Kuching pula masing-masing 10 orang.

Bilangan calon yang mendapat sekurang-kurangnya gred A- dalam semua mata pelajaran pula ialah 533 (1.63%) orang berbanding 670 (1.98%) orang pada tahun 2017. Statistik perbandingan pencapaian prestasi calon bagi kategori ini bagi tahun 2017 dan tahun 2018 menunjukkan penurunan sebanyak 0.35%.

Perbandingan Pencapaian Sekolah Bandar Dan Luar Bandar

Jadual 9 menunjukkan pencapaian antara calon sekolah bandar dan sekolah luar bandar dari segi pencapaian minimum Gred E bagi semua mata pelajaran teras. Calon sekolah bandar menunjukkan pencapaian yang lebih baik dari segi pencapaian minimum Gred E bagi mata pelajaran Bahasa Melayu iaitu peningkatan sebanyak 0.34%.

Manakala calon sekolah luar bandar menunjukkan pencapaian yang lebih baik dari segi pencapaian minimum Gred E bagi mata pelajaran Pendidikan Islam iaitu 0.02%.

Dari segi jurang perbezaan pencapaian antara calon sekolah bandar dan calon sekolah luar bandar bagi pencapaian minimum Gred E, mata pelajaran Matematik dan Sejarah menunjukkan peningkatan yang semakin ketara.

Bagi mata pelajaran Matematik calon sekolah bandar pada tahun 2018 mencatatkan peningkatan sebanyak 0.24%. Manakala bagi calon sekolah luar bandar pula menunjukkan peningkatan kepada 1.26%.

Mata pelajaran Sejarah calon sekolah bandar pada tahun 2018 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.41% dan calon sekolah luar bandar menunjukkan peningkatan tertinggi sebanyak 3.24% berbanding tahun 2017.

Bagi mata pelajaran Science calon sekolah bandar menunjukkan penurunan sebanyak 0.89% pada tahu 2018, manakala calon luar bandar juga menunjukkan trend penurunan sebanyak 1.04%.

Mata pelajaran Bahasa Inggeris pada tahun 2018 mencatatkan penurunan bagi kedua-dua calon sekolah bandar dan calon sekolah luar bandar iaitu masing-masing sebanyak 1.51% dan 1.40% berbanding tahun 2017. Sementara itu, jurang perbezaan antara calon sekolah bandar dan sekolah luar bandar dari segi pencapaian minimum Gred E tidak menunjukkan perubahan trend yang ketara bagi mata pelajaran Pendidikan Moral.

Prestasi Pencapaian Cemerlang Calon

Pada keseluruhannya, pencapaian calon negeri Sarawak dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2018 adalah menggalakkan. Seramai 8 orang calon berprestasi cemerlang tertinggi yang mendapat gred A+ dalam semua mata pelajaran (Jadual 11). Daripada jumlah tersebut, 2 orang mendapat 10A+, dan 6 orang mendapat 9A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Penutup

Sehubungan dengan pengumuman keputusan ini, calon-calon yang ingin membetulkan maklumat peribadi dalam slip keputusan, menyemak semula atau mengemaskini keputusan mereka hendaklah melakukannya dalam tempoh 30 hari selepas tarikh pengumuman keputusan iaitu selewatlewatnya 14 April 2019.

Lembaga Peperiksaan tidak akan melayan permohonan dan membuat sebarang pindaan kepada maklumat keputusan calon yang dibuat selepas tempoh tersebut.

Mulai tahun 2015 bayaran semak semula keputusan bagi setiap mata pelajaran ialah RM100.00 dengan menggunakan wang pos atau kiriman wang atas nama Akauntan Negara Malaysia.

Borang semak semula atau pengemaskinian keputusan dan Borang Pembetulan Maklumat Calon LP/Am 38 Pin.1/2016 boleh didapati daripada pihak sekolah masingmasing, Unit Penilaian dan Peperiksaan, Pejabat Pendidikan Daerah seluruh Sarawak atau Sektor Penilaian dan Peperiksaan di Ibu Pejabat, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Jalan Diplomatik Off Jalan Bako, Kuching.

Dengan kesempatan ini, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengetua, guru, ibu bapa dan pihak yang terlibat dalam persediaan, pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM 2018 yang telah dijalankan dengan sempurna.

Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak atas sumbangan serta kerjasama yang padu dalam usaha menambah dan meningkatkan mutu prasarana sekolah untuk meningkatkan kualiti dan merapatkan jurang pendidikan di negeri Sarawak.

TUAN HAJI ABANG MAT ALI BIN ABANG MASAGUS

Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak

14 Mac 2019

Leave a Reply