Harga petrol seragam di Sarawak dalam tempoh setahun

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang mengkaji pelaksanaan penyeragaman harga petrol dan diesel tahun ini selain membuka lebih banyak stesen petrol di Sarawak untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk luar bandar.

Timbalan menterinya Chong Chieng Jen berkata kementerian itu akan bekerjasama rapat dengan syarikat minyak, termasuk Petronas, bagi memastikan harga seragam selain membuka stesen petrol mini atau sistem takungan mudah alih di kawasan luar bandar.

“Sarawak sangat luas dan penduduk tinggal berselerak, dan oleh itu, penduduk luar bandar mengalami kesulitan untuk mendapatkan bekalan bahan api yang dijual pada harga berbeza daripada yang dijual di bandar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Petronas Sungai Maong di sini semalam.

Beliau berkata harga berbeza itu berlaku di kawasan luar bandar seperti Kapit dan Song.

Mengenai kedudukan sama-sama menang dalam cadangan kerjasama dengan Petronas dalam urusan terbabit, beliau berkata Petronas bersetuju mengkaji untuk membekalkan bahan api, dan yang penting memastikan penduduk luar bandar dapat menikmati harga yang sama di kawasan lain.

Berikutan perhubungan yang semakin berkembang di Sarawak, termasuk pembangunan Lebuhraya Pan Borneo, pembukaan stesen minyak runcit baharu juga akan membantu memenuhi permintaan bahan bakar dan menyokong infrastruktur dan pembangunan ekonomi negara, katanya.

Chong berkata ini merupakan antara ciri utama kerajaan hari ini untuk bekerjasama dengan sektor perniagaan,sambil mengucapkan tahniah kepada Petronas atas dasarnya yang inovatif dan kreatif dalam merealisasikan pengalaman pelanggan yang lancar secara profesional melalui pelaburan besar dalam penyelidikan dan pembangunan.

Terdahulu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad (PDB), Datuk Seri Syed Zainal Abidin berkata stesen Sungai Maong merupakan stesen minyak Petronas pertama di Sarawak yang mempunyai kemudahan pandu lalu restoran KFC, dan ke-91 di seluruh negara setakat ini.

PDB mempunyai rangkaian 1,054 stesen di seluruh negara, katanya.– BERNAMA

Leave a Reply